Wednesday, September 22, 2010

" MaLaYsiA InTeRneT BrOaDbanD: TeLcO DiSeRu TeTapKan KaDar MuRaH "

CYBERJAYA 13 Julai – Syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini diminta menetapkan kos terendah bagi perkhidmatan jalur lebar dalam usaha menggalakkan rakyat negara ini melanggan perkhidmatan tersebut.

Ini sekali gus mampu mencapai sasaran kadar penembusan isi rumah sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, 37.7 peratus kadar itu sudah berjaya ditembusi dan ia memerlukan 12.3 peratus lagi bagi mencapai sasaran itu.

Katanya, kadar penembusan itu boleh boleh dicapai sekiranya 1.2 juta pengguna Internet secara ‘dial up’ dan 7.5 juta pelanggan 3G menukar perkhidmatan sedia ada kepada penggunaan jalur lebar.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi sekarang ini sedang berurusan dengan pelanggan mereka supaya menukarkan perkhidmatan sedia ada seperti ‘dial up’ dan 3G kepada penggunaan jalur lebar.

“Bagaimanapun kita berharap syarikat telekomunikasi terbabit dapat menentukan kadar sederhana supaya rakyat mampu menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Jalur Lebar di perkarangan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) di sini hari ini.

Kembara ke lima zon seluruh negara itu dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan tersebut.

Turut hadir timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli.

Kembara Jalur Lebar bermula 15 Julai ini selama lebih empat bulan di 500 lokasi seluruh negara yang memberi tumpuan di kawasan-kawasan terpencil di mana kadar penembusan jalur lebar amat rendah.

Rais berkata, kadar liputan yang lebih baik perlu ditingkatkan dan diberi perhatian oleh SKMM supaya pengguna dapat menikmati perkhidmatan tersebut dengan mudah dan cepat.

“Apa yang penting kawasan liputan perlu ditingkatkan selain pemasangan ‘access point’ di setiap telefon awam yang mampu menjangkau dua kilometer kawasan liputan.

“Langkah ini mampu menggarap pendapatan lebih tinggi dalam industri ini sekali gus mengubah ketamadunan bangsa dan negara jika penggunaan jalur lebar dijadikan sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

sumber: utusan online 14/07/10

No comments:

Post a Comment