Monday, August 23, 2010

" ApA iTu SaIns KoMpUteR "

Sains komputer (computer science) secara umumnya adalah pengkajian perhitungan (computation) dan pemprosesan maklumat, sama ada dari segi perkakasan mahupun perisian. Seseorang yang pakar dalam bidang perkomputeran dipanggil Saintis Komputer. Ini adalah kerana sains komputer merupakan salah satu cabang daripada aliran sains.

komputer

Skop sains komputer masih tidak dapat dipisahkan dengan jelas memandangkan bidang ini meliputi aspek yang amat luas dalam kehidupan manusia dan skopnya akan terus berkembang selari dengan perkembangan kemajuan teknologi. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu telefon bimbit lebih dikaitkan dengan bidang kejuruteraan, akan tetapi apabila teknologi telefon bimbit semakin berkembang, terdapat banyak teknologi daripada aliran sains komputer diserapkan ke dalam alatan ini.

Kemajuan robotik semakin menyerapkan elemen-elemen sains komputer seperti kepintaran buatan untuk menjadikan sesebuah robot lebih bijak. Bidang ini mendapat penawaran meluas di dalam universiti dalam dan luar negara memandangkan ia merupakan bidang yang menarik perhatian serta tempat yang meluas dalam industri.

Antara perkara penting dalam sains komputer adalah Bahasa Pengaturcaraan. Bahasa pengaturcaraan adalah bahasa yang boleh digunakan untuk menulis perisian komputer. Antara bahasa pengaturcaraan yang popular ialah C, C++ dan Java.

" ApA MakSud BaHaSa KomPutEr "

Bahasa komputer adalah istilah lain yang lebih meluas bagi bahasa pengaturcaraan. Terdapat dua jenis bahasa komputer iaitu bahasa pengaturcaraan aras rendah dan bahasa pengaturcaraan aras tinggi.

Jenis bahasa komputer

Bahasa aras rendah

Bahasa komputer jenis ini adalah bahasa komputer yang tidak dapat difahami oleh manusia tetapi boleh difahami oleh komputer. Contohnya bahasa mesin (machine code) mempunyai arahan-arahan dalam bentuk bit yang sukar untuk difahami manusia.

Fungsi bahasa ini ialah menghantarkan signal bit melalui get logik, dan seterusnya mengawal input dan output perkakasan.

Bahasa aras tinggi

Bahasa komputer jenis ini adalah bahasa yang boleh difahami oleh manusia tetapi tidak oleh komputer. Ia dicipta untuk memudahkan kerja-kerja mengaturcara. Oleh kerana ia tidak difahami oleh komputer maka ia akan diterjemah kepada bahasa tahap rendah untuk dibaca oleh komputer dengan bantuan pengkompil atau pentafsir. Selalunya ia adalah dalam bentuk Bahasa Inggeris yang disingkatkan ataupun diubah suai.

Contoh-contoh bahasa komputer

  • Aras Rendah
  • Bahasa mesin
  • Bahasa himpunan
  • Aras Tinggi
  • Bahasa pengaturcaraan – contohnya C++
  • Bahasa penskripan – contohnya Python dan Perl
  • Bahasa penanda – bahasa penanda yang terkenal adalah HTML

Tuesday, August 17, 2010

" SaTeLiT PeManGkiN SisTeM KoMuNikAsi "

Kalau anda menonton filem Transformer: Revenge of the Fallen pasti boleh mengingati robot dari Decepticon yang cuba mengawal komunikasi bumi dengan menggodam satelit ketika awal babak filem terbabit.

Kenapa ia dilakukan?

Jelas, satelit memainkan peranan penting dalam sistem komunikasi dan boleh dikatakan nyawa penduduk di bumi yang bergantung kepada penggunaannya sama ada untuk tujuan komunikasi, keselamatan, hiburan dan sebagainya.

Secara umumnya, satelit adalah objek berputar di angkasa mengelilingi objek lain yang lebih besar seterusnya mengekalkan posisi dalam graviti objek tersebut.

Ia berdasarkan konsep astronomi dengan merujuk keadaan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi sebagai ‘satelit’ asli sedia ada.

Konsep astronomi terbabit yang mendatangkan idea penciptaan satelit buatan manusia yang mengelilingi bumi bagi tujuan komunikasi seterusnya menempa satu lagi pembaharuan dalam perkembangan ketamadunan manusia.

Satelit dengan capaian komunikasi serantau diperkenalkan pada 1960 dengan memantulkan transmisi sehala melalui ECHO 1 sementara pelopor generasi satelit baru dimulakan pada 1962 apabila TelStar yang mempunyai pemancar penerima serta penghantar isyarat diperkenalkan.

Bercakap soal penerimaan isyarat, satelit mampu menghantar isyarat pada gelombang rendah membolehkan penerimaannya di bumi melalui perkakasan penerima menjangkau liputan meluas ke pelusuk dunia.

Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan satelit sebagai jawapan kepada persoalan sambungan liputan di kawasan pedalaman terutama membabitkan perkampungan yang sukar dijangkau sistem komunikasi lain.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1, dibina oleh Soviet Union dan dilancarkan pada 4 Oktober 1957.

Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk bujur dan bergerak pada altitud di antara 225 hingga 950 kilometer (km).

Sepanjang berada di orbit, ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkannya bertahan semasa proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim.

Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi.

Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya selain perlu mengekalkan suhu bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas matahari dan cuaca sejuk ruang angkasa.

Malah, satelit perlu berupaya bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid.

Kebanyakan satelit dilengkapi dengan perkomputeran dipasang siap bagi mengawal operasi dan misinya.

Terdapat pelbagai jenis satelit yang dihantar ke angkasa seperti satelit komunikasi, satelit navigasi, satelit cuaca dan satelit pencerapan bumi.

Satelit yang mengorbit bumi boleh memberikan data untuk pemetaan bumi, menentukan bentuk dan saiz bumi serta mengkaji dinamik lautan dan atmosfera.

Saintis juga menggunakan satelit untuk mencerap matahari, bulan, planet dan bulan, komet, bintang dan galaksi seperti dilakukan Hubble Space Telescope yang dijadikana pencerap am dilancarkan pada 1990.

Bukan itu saja, sesetengah satelit saintifik turut mengorbit objek lain seperti dilakukan Mars Global Surveyor yang mengorbit planet Marikh.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mendapatkan bantuan satelit milik Amerika Syarikat iaitu MODIS (Moderate Resolution Emerging Spectro Radiometer) dan National Oceanomic Atmosphere Administrator (NOAA) bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di negara ini

Kelebihan itu digunakan apabila ia mempunyai keupayaan sederhana mendapatkan imej jelas keluasan kawasan yang terbakar dan pergerakan udara yang mengandungi jerebu bergerak dari pulau Sumatera terus ke Semenanjung.

Melalui Pusat Pencerapan Bumi (EOC), UKM menjalankan pemantauan dan penyelidikan berkaitan perubahan guna tanah di Asia Tenggara meliputi alam sekitar, geologi, kajian impak sesuatu kejadian dan kajian sumber air.

Kita juga mampu meningkat kekuatan tentera sekiranya memanfaatkan satelit pengintip seperti dilakukan India yang melancarkan satelit pengintip buatan ke ruang orbit bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan selepas serangan pengganas di Mumbai.

Satelit pengintip Risat-2 akan memantau terutama kawasan sempadan India bagi membantu operasi anti pengganas dan anti penyusupan.

Kemajuan teknologi satelit terbabit dijangka berada di ruang orbit selama tiga tahun yang boleh melihat menembusi awan dan memantau keadaan banjir, taufan dan pengurusan bencana.

Sektor pertanian pun mampu mendapat tempias manfaat apabila pemetaan menerusi satelit yang lebih jitu berupaya menetapkan sumber tanah secara bersepadu apabila ia diselaraskan dengan teknologi penderiaan jauh (RS) menggunakan teknik optik dan radar.

RS didefinisikan sebagai sains mendapatkan maklumat permukaan bumi tanpa menyentuh dengan menggunakan imej pemantulan objek di permukaan bumi melalui satelit.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah contoh organisasi yang menggunakan gabungan RS dan satelit Landsat 7 ETM bagi menyediakan peta guna tanah tanaman sawit di Malaysia.

Adanya informasi keluasan dan penyebaran tanaman sawit terkini dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber sawit berkekalan.

Seterusnya, tidak dilupakan fungsi satelit sebagai sumber hiburan seperti heboh dengan frasa kata TV Satelit sejak dekad ini yang mampu memberikan ratusan saluran seperti dilihat melalui Astro.


Sumber: http://www.in4ict.com/komunikasi/satelit-pemangkin-sistem-komunikasi.html

" ApA ItU MicRoSofT WiNdowS "

Windows ialah sebuah sistem pengendalian yang dibangunkan dan dipasarkan oleh Microsoft. Sehingga kini, terdapat pelbagai versi Windows, antaranya Windows 95, Windows 98, Windows ME, Windows NT, Windows XP dan yang terbaru daripada Microsoft ialah Windows Vista yang dilancarkankan pada tahun 2007.

windows_logo

Keluarga Microsoft Windows

Pada asalnya, Microsoft Windows hanyalah sekadar berfungsi untuk menyediakan suasana pengendalian antaramuka grafik pengguna yang lebih mudah digunakan kepada pengguna MS-DOS, namun penggunaan Windows yang semakin meluas menjelang pertengahan dekad 1990-an menyebabkan Microsoft menaiktaraf perisian Windows kepada sebuah sistem pengendalian.

Windows NT mula diperkenalkan pada tahun 1993 kepada pengguna perniagaan dengan menggunakan antaramuka yang serupa dengan Windows 3.x. Bermula tahun 2001, kesemua versi terkini Windows menggunakan teknologi NT sepenuhnya yang lebih stabil.


Ciri-ciri utama

Terdapat pelbagai ciri utama dalam sistem operasi Windows terutama Windows XP antara ia mementingkan kepada tiga aspek utama iaitu setting, kemaskini dan tahap keselamatan. Windows XP ini juga menjadikan lebih mudah untuk menyusun dan menguruskan sumber sekuriti melalui peralatan sekuriti mantap, mudah dicapai dan intuitif dengan seting yang dipertingkatkan antaranya seperti pusat sekuriti Windows dan pengurusan berpusat bagi Windows Firewall dan Internet Explorer (IE) Di samping itu Windows XP SP2 ini juga membaiki keupayaan pengguna untuk memastikan sentiasa selamat melalui penyaluran lebih banyak maklumat bagi membuat keputusan yang membabitkan sekuriti dan tahap rahsia mereka.

Ini termasuk kemas kini untuk pemacu penting serta sekuriti dan sokongan teknologi baru yang mana semuanya menyediakan pengalaman pengguna akhir lebih baik selain membolehkan pengkomputeran lebih produktif.Teknologi baru yang diperkenalkan itu adalah pengadang pop-up IE, menjadikan kegiatan melayari internet lebih menyeronokkan selain membolehkan pengguna mengurangkan iklan serta kandungan yang tidak diingini.

Selain itu disediakan bar maklumat IE yang menyediakan maklumat terbaik mengenai setting IE di samping memberi amaran kepada pengguna mengenai kawalan dan muat turun yang tidak ditandatangani.

Selain daripada itu permukaan Windows juga adalah berlainan dengan Windows yang sebelumnya. Di dalam Microsoft Windows XP, permukaannya adalah lebih cantik yang di sebut sebagai Luna. Permukaan Windows XP juga boleh diubah-ubah samada yang telah sedia ada ataupun dengan menggunakan aplikasi lain antaranya yang popular adalah StyleXP, WindowBlinds dan lain-lain. Dengan adanya aplikasi ini pengguna Windows boleh menukarkan latar belakang (theme) Windows mengikut kemahuan pengguna antaranya pengguna boleh menukarkan permukaan Windows kepada permukaan perisian Mac OS X (Aqua), Linux dan lain-lain yang boleh dimuat turun di internet. Didalam perisian Windows juga memuatkan perisian yang sedia ada seperti Disk Defragmenter, Internet Explorer (IE), Paint, Wordpad dan sebagainya.

Antaramuka asas Microsoft Windows

Sebaik sahaja proses but selesai, anda akan dapat melihat paparan antaramuka bagi Windows. Sebahagian besar bahagian paparan dikenali sebagai desktop dengan beberapa ikon bagi perisian aplikasi serta beberapa ikon sistem seperti My Computer (dikenali sebagai Computer di dalam Windows Vista), Recycle Bin dan sebagainya. Recycle Bin adalah folder sistem khas bagi menyimpan fail-fail yang hendak dibuang daripada cakera keras.

Di sebelah bawah pula terdapat satu jalur nipis yang dikenali sebagai bar tugasan. Bar tugasan yang asas menempatkan menu Start, dulang sistem dan beberapa butang bagi program-program aplikasi yang dibuka (jika ada). Ini membolehkan pengguna menukar program yang dibuka dengan pantas dan mudah tanpa mematikan program-program lain. Ciri tersebut menjadikan Windows sebagai sistem pengendalian berbilang tugasan (multi-tasking). Dulang sistem pula menempatkan jam, kawalan suara, ikon peringatan sistem serta beberapa ikon bagi program yang berjalan secara latar belakang seperti perisian antivirus.

Menu Start menempatkan senarai penuh program yang dipasang di dalam Windows, pautan ke Panel Kawalan, Bantuan dan perintah untuk log keluar akaun Windows serta perintah menutup Windows. Komputer akan dimatikan secara automatik setelah proses menutup Windows selesai.

Kebanyakan program aplikasi memaparkan antaramuka asas berbentuk segiempat yang dikenali sebagai tetingkap. Sebuah tetingkap mempunyai bar tajuk, bar menu, bar peralatan, ruang program serta bar status. Bar tajuk memaparkan ikon program, tajuk program, serta butang-butang Minimize (mengecilkan dan menyembunyikan program di dalam bar tugasan), Maximize (membesarkan tetingkap sehingga memenuhi ruang desktop)/Restore (mengembalikan tetingkap yang dibesarkan kepada saiz asal) dan Close (menutup program).

Semua arahan di dalam Windows boleh dijalankan dengan mudah dengan menggunakan tetikus serta papan kekunci untuk memasukkan teks serta beberapa perintah.


Sumber: http://www.in4ict.com/sistem-operasi/apa-itu-microsoft-windows.html