Wednesday, September 29, 2010

" BeRgAyA DaLaM KeLaSnYa "

Utusan Online
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin mencabar, MSI melancarkan komputer riba 14 inci bergaya FX400.


Komputer riba berkenaan dilengkapi dengan pemprosesan Intel Core i5, kad grafik nVIDIA GeForce GT 325M (1GB memori paparan) DAN teknologi TDE.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan teknologi boost GPU kepada mod kad grafik yang boleh diubah bagi mengoptimumkan keupayaan grafik dan pemprosesan.


Pengarah Pemasaran MSI, Sam Chern berkata, FX400 merupakan karya terhebat MSI terkini dengan lapisan luar yang menghalang calar menjadikannya lebih bergaya dalam kelasnya.


MSI yang berkerjasama erat dengan pereka sistem bunyi THX bagi mendapatkan bunyi persekitaran standard teater.


Sistem bunyi seakan pawagam dengan pembesar suara yang sesuai dengan jenis muzik dan frekuensi.


Teknologi Volum dan Teknologi Pintar memastikan bunyi yang jelas dan bersih bagi memaksimumkan pengalaman multimedia.


FX400 menggunakan pemprosesan multimedia berkuasa dan teknologi Cinema Pro MSI bagi grafik terbaik.


Sentuhan Cinema Pro hotkey meningkatkan mod filem kepada resolusi lebih tinggi dengan warna lebih mewah.


Ini memberikan pengguna pengalaman audio terbaik setanding dengan persembahan langsung, filem dan studio rakaman.


Lapisan eksklusif FX400 memberikan perlindungan daripada calar dan cap jari yang minimum.


Teknologi tepat MSI yang diaplikasikan pada FX400 secara terperinci bermula dengan papan kekunci, pembesar suara kelas pawagam THX kepada papan kekunci chiclet yang direka untuk keselesaan pengguna dan meningkatkan kegunaan pad sentuh,


Semuanya gabungan kejuruteraan berkualiti MSI dari segi seni, fesyen dan teknologi.


MSI FX400 datang dengan teknologi Turbo Drive engine (TDE) bagi meningkatkan keupayaan CPU dan sistem kelajuan dengan satu sentuhan Turbo (P1) hotkey yang terletak di atas papan kekunci.


Ini membolehkan FX400 memproses aplikasi bebanan tinggi seperti grafik tanpa mengabaikan yang lain.


Menggunakan kad grafik nVIDIA GeForce GT 325M dengan IGB GDDR3 paparan memori bagi keupayaan pemprosesan grafik tinggi.


Apabila FX400 perlu memproses aplikasi grafik, teknologi Boost GPU MSI berubah kepada mod kad grafik bagi keupayaan grafik lebih berkuasa bagi multimedia yang lebih ‘hidup’.


MSI FX400 boleh didapati daripada pengedar sah pada harga RM2,899.


Sebelum ini, syarikat terbabit, Micro Star International (MSI), mengumumkan kemunculan pad angin pada pameran Computex 2010.


Dengan ciri-ciri ketebalan 10 inci dan skrin kawalan sesentuh, dan nipis serta bergaya dalam reka bentuk, peralatan ini dioperasikan dengan unit pemprosesan berpusat (CPU) Intel.


Beroperasi dengan Microsoft Windows 7 serta android dan ciri-ciri aplikasi intuitif dan inovatif bagi meningkatkan penggunaan multimedia yang lebih canggih.


Dengan anggaran berat 800 gram (termasuk bateri) pad berkenaan yang dilengkapi teknologi 3G dan sambungan WiFi GPS, serta kamera web 1.3-megapiksel, pastinya pengguna lebih selesa menggunakannya.


MSI Wind Pad tersebut juga dilengkapi dengan pelabuh USB pembaca kad dan HDMI.

" 185 LaMaN WeB KeNa CerOboH "

PEMILIK laman web di Malaysia diminta berhati-hati dan mengemas kini sistem keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam Internet berikutan insiden serangan terhadap laman web Malaysia baru-baru ini.

Pemilik laman web Malaysia perlu mengemas kini dan melindungi aplikasi serta pelayan mereka dengan perkhidmatan keselamatan bagi melindungi kelemahan tersembunyi.

“Ia perlu bagi mengelak sebarang ruang yang boleh dieksploitasikan penggodam untuk menjejaskan laman web mereka,” kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam satu kenyataan akhbarnya, SKMM berkata insiden kali pertama dikesan pada 31 Ogos dan ia kini menjejaskan 125 laman web.

Insiden terbabit menyaksikan penggodam itu memasukkan halaman kandungan dengan ancaman ke laman web seterusnya mengumumkan kejayaan mereka melemahkan laman web itu.

Suruhanjaya itu berkata ia memantau situasi terbabit menerusi Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM (SNSC) dan mengesan pelbagai komen yang dihantar penggodam berkaitan blog, forum dan laman web sosial.

Berdasarkan laporan daripada pemilik laman web yang digodam, tiada bukti menunjukkan kegiatan terbabit menjejaskan laman web mereka melainkan sisipan halaman baru dihantar penggodam.

SKMM giat bekerjasama dengan mereka dalam usaha membantu mengemas kini laman web yang digodam dengan pek perkhidmatan terbaru bagi membaiki masalah itu dan membuang laman web yang disisipkan.

Pemilik laman web dinasihatkan menghubungi SKMM jika mereka mengesan kegiatan tidak bermoral dalam laman web mereka.

Artikel: HMetro

" ViRuS GagAlkAn PrOgRaM ICT SeKoLaH "

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melihat semula keberkesanan program pelaksanaan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) setelah hampir 20 tahun ia menjadi aplikasi perdana koridor raya multimedia.


Penilaian peringkat kebangsaan perlu dilakukan semula terhadap keselesaan dan kesesuaian program yang dilakukan oleh bahagian atau jabatan di KPM, institusi latihan perguruan, Institut Aminuddin Baki (IAB), agensi-agensi yang dilantik serta pihak yang berkepentingan, yang nampaknya caca marba dan belum kesampaian.


Guru masih tidak tahu mencari bahan, mengintegrasikannya dalam satu mauduk rancangan dan sukatan mengajar seharian. Pengurus dan pentadbir sekolah juga masih gagal mengurus program ICT di sekolah dengan berkesan. Kesemua inilah yang dikhuatiri akan menjadi virus sehingga menggagalkan program ICT di sekolah untuk satu pusingan lagi.



Program kesedaran atau celik komputer sudah berlalu. Satu program pengintegrasian dalam amalan terbaik mengajar di sekolah adalah fokus program latihan sekarang.

Hal ini saya anggap kritikal kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu program pembestarian semua sekolah dilaksanakan segera - seperti mana yang beliau tegaskan semasa pelancaran program Cybersafe in School peringkat kebangsaan di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lepas.


Kegagalan atau kejayaan program ICT di sekolah akan menentukan pelbagai perkara - misalnya bagaimanakah ia bakal menjejaskan kepercayaan terhadap program komputer rakyat - juga perlu diperhalusi.


Banyak program sangkutan ICT yang gagal - lihat sahaja Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).


PPSMI adalah aspek yang kecil. Lebih besar lagi, ketidakcekapan pengurusan bakal menggagalkan keseluruhan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kalau harapan disandarkan secara membuta tuli kepada suasana dan keadaan semasa.


Bagi penulis, ia umpama filem Terminator, sebuah syarikat SkyNet hanya mencipta dan mempromosikan teknologi yang akhirnya menjadi 'monster' yang memakan diri sendiri.


Ia umpama virus yang sangat cepat tersebar kerana kesedaran untuk menggunakan komputer di sekolah secara umumnya semakin tinggi.


Program-program pengurusan perubahan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dengan kerjasama Portal Pendidikan Utusan Malaysia berjaya menyedarkan guru dan pengurus sekolah perihal kepentingan ICT dalam P&P.


Namun, virus itu perlu dimusnahkan terlebih dahulu.


"Komputer dihantar sebanyak dua kontena, tetapi jadi perhiasan sahaja di rumah," kata seorang bapa dalam dialog sempena program Jerayawara Pembestarian Sekolah Di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lalu sempena pelancaran Cybersafe in School.


Malah tidak keterlaluan kalau penulis mengesyaki - atas kesedaran yang ikhlas itu - mungkin ada yang menjual komputer riba daripada program komputer rakyat ini, seperti mana ada yang menjual subsidi minyak diesel.


Kenapa program ICT di sekolah gagal? Kerana kebanyakan kita tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan komputer.


Komputer dilihat sebagai alat. Latihan komputer kepada pentadbir dan pengurus di sekolah berkisar kepada melerai dan memasang semula komputer. Mereka tidak melihat potensi alat pengupaya itu dari luar kotak pemikiran bahawa komputer ialah ciptaan paling agung pada abad silam untuk membantu manusia pada zaman akan datang.


Perisian kursus yang diharap untuk membantu guru - yang dibangunkan kononnya untuk menjadi alat bantu mengajar - telah membunuh potensi sebenar komputer di sekolah.


Oleh itu, proses melihat semula keberkesanan semula program latihan komputer di sekolah sangat penting kerana dikatakan komputer di sekolah gagal dimanfaatkan sepenuhnya.


Integrasi


Penulis mendapati, sikap yang keterlaluan dalam mengikuti perkembangan teknologi terkini oleh 'jurujual', terlalu terikut-ikut negara seperti Korea Selatan, gagal untuk berubah, pengurusan ICT sekolah yang tidak cekap serta kelemahan dalam aspek integrasi dan interaksi P&P menjadikan program komputer di sekolah tidak mencapai maksudnya.


Keadaan semakin kusut apabila beberapa pihak di dalam KPM masih melihat ICT perlu diikat dengan perisian tertentu yang mereka sediakan, tanpa berpegang bahawa guru ialah kerjaya jiwa raga, dan ilmu diperoleh tanpa batasan.


Tanyalah. Adakah guru telah berjaya mengupayakan P&P mereka? Adakah murid semakin minat datang ke kelas? Adakah guru sudah menjadikan budaya mengakses maklumat dari Internet sebagai bahan tambahan mereka?


Kita jangan mendengar cerita manis sebagai halwa telinga daripada pihak yang kita tidak dapat mengesahkan kesahihannya.


Turunlah ke akar umbi. Penulis yang terlibat dengan program Jerayawara Pembestarian Sekolah sempena pelancaran Cybersafe in School di Kota Marudu, Sabah amat tertarik dengan komen peserta - terdiri daripada pentadbir, pengurus, guru dan ibu bapa - kerana rupa-rupanya ibu bapa di situ akhirnya setuju ICT sangat penting, tetapi mereka masih kabur dengan kegunaannya.


Setelah mengikuti program pengurusan perubahan oleh penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, ibu bapa mahu membantu sekolah, dan guru menyedari pengintegrasian adalah sesuatu yang sangat penting dalam kerjaya mereka.


Malangnya mereka kurang mendapat pendedahan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri.


"Selama ini kami hanya mendapat komputer, mendapat latihan celik komputer dan program memasang dan melerai komputer sahaja," katanya.


Dalam satu polar sosial yang kurang diberikan perhatian - iaitu masyarakat setempat di Marudu - mereka bertanya kepada penulis tentang masa depan program komputer rakyat, pembudayaan ICT dan kesan politiknya.


Seorang ibu, menghampiri penulis dan bertanya, bagaimanakah untuk berminat dengan ICT kerana dia mempunyai perniagaan, mahu mengembangkannya tetapi tidak tahu potensi komputer - sedangkan kelima-lima anaknya mahir dalam komputer tetapi kurang membantu.


"Saya sangat tertarik dengan program pengurusan perubahan oleh MDeC ini kerana saya melihat ada kaum Orang Asli Mah Meri di Selangor menjual produk kraf tangan mereka sehingga ke Amerika Syarikat," kata ibu tersebut.


Hal ini menunjukkan pelaburan berbilion ringgit kerajaan dalam usaha menerapkan budaya ICT di sekolah sejak 20 tahun lalu memutikkan bunga kerana ia telah menyusup, membudaya dan kini mengakar umbi di segenap lapisan guru - termasuk sekolah di Sabah dan Sarawak.


Hal ini terbukti melalui reaksi peserta daripada program Jerayawara MDeC, yang menunjukkan usaha itu bukan sahaja telah berjaya memangkinkan penggunaan ICT di sekolah, malah tempiasnya telah dirasai oleh masyarakat sekitar.


Hal ini sekali gus membuktikan bahawa isu jurang digital telah berjaya ditangani, dan usaha susulan oleh kerajaan seperti memperkenalkan jalur lebar dan pemberian komputer riba dalam inisiatif satu komputer satu rakyat bolehlah diteruskan dan dapat di terima.


Buku teks


Di Kota Marudu atau Nabawan di Sabah, penerimaan terhadap teknologi yang pernah dianggap 'menyukarkan urusan' itu ternyata telah bertukar sifatnya sehingga 360 darjah.


Hal ini memungkinkan buku teks tidak lagi relevan pada satu hari kelak apabila kekangan sikap guru dan masyarakat dapat ditangani sepenuhnya.


Semasa program di SMK Tandek itu, pentadbir dan pengetua, tidak lagi menunjukkan reaksi penolakan atau teragak-agak dalam komitmen mereka untuk menjadikan sekolah masing- masing sebagai agen perubahan.


Program dikendalikan oleh Dr. Ismail Zain dan pegawai Unit Perkhidmatan ICT, BTPN, Sabah, Rodymond G. Omar.


Penolong Kanan SMK Tandek, Bonar Mayanglan berkata, asalkan guru berminat, usia bukan jadi penghalang.


"Lagipun, sebagai tenaga pengajar mereka perlu ada kreativiti, inovatif dan pengetahuan - rumus penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P."


Shaiffuddin Shaiddin dari Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara di Kota Belud sering mencabar guru muda menggunakan ICT ketika mengajar.


"Otak kita sama sahaja… Cuma sama ada kita mahu belajar atau tidak."


Satu tinjauan rambang dalam kalangan peserta mendapati rata-rata mempunyai akaun Facebook.


"Saya sudah berusia, tapi saya sedar bahawa saya tidak boleh bekerja tanpa bantuan ICT," kata Guru SK Ranau, Kota Marudu, Abd Aziz Dumang yang turut mencadangkan setiap guru melalui program perubahan sikap.


Pendidik mesti sedia terima perubahan. Kita perlu perubahan.


Katanya, banyak lagi cabaran di hadapan, teknologi begitu pantas.


Pendedahan Jerayawara ini sesuai untuk seorang guru. Ia dapat membuka mata semua golongan kalau dapat ubah sikap, ujar guru yang sudah 38 tahun mengajar itu.


"Bukan mudah untuk berubah. Diri kita sendiri perlu berubah," tambah Aziz.


Penolong Kanan 1, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Khoi Ming, Kota Marudu, Sooi Hai Soon berkata, pihak sekolah perlu membuka pintu kepada agensi luar untuk membantu pihak sekolah membangunkan program ICT.


Guru SMK Tandek, Kota Marudu, Joanes Miro berkata, semua guru sebenarnya sudah bersedia, tapi belum cukup latihan.


Dalam hal ini, Rodymond G. Omar berkata, latihan sudah diberi dan tindakan susulan akan dibuat.


Penolong Kanan (PK) 1, SMK Bengkongan, Kota Marudu, Miasin Gani juga mengakui program pengurusan perubahan MDeC berjaya mencapai matlamatnya.


Seorang lagi guru SK Tandek, Mastijah Madina berkata: "Namun begitu, dalam kalangan ibu bapa masih terdapat sedikit kegusaran tentang pelaksanaan berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anak sendiri."


Pada sesi sebelah petang bersama ibu bapa, isu-isu seperti komputer yang tidak dapat digunakan kerana kurang kepakaran dan juruteknik yang mencukupi menjadi isu yang masih menghantui mereka.


Namun isu itu dilihat secara positif oleh ibu bapa yang memohon kerajaan bertindak lebih cepat menangani isu berkenan.


"Sayang sahaja duit kerajaan . . . akhirnya simpan sebagai komputer," kata seorang bapa.

Wednesday, September 22, 2010

" LaJuKaN KoMpuTeR : KuRanGkaN StaRt-uP PrOgrAm "

Semua orang ingin komputer berjalan selaju dan seoptima yang mungkin. Banyak yang ada boleh buat dengan membuat pengubahsuaian (tweak) dan setting konfigurasi yang sesuai kepada operating system Windows.

Berikut adalah langkan pertama yang mudah:


Tidak perlu buka perisian yang tidak perlukan sepanjang masa. Kemungkinan ada software yang akan on sendiri secara automatik setiap kali anda hidupkan komputer.
1. Lihat ikon-ikon pada sebelah kanan taskbar. Lihat berapa banyak applikasi yang on pada satu-satu masa. Atau
2. Tekan butang CTRL + ALT + DEL serentak . Tetingkap Task Manager akan keluar, lihat bahagian Applications. Berapa banyak applikasi yang tengah on?

Mungkin ada program tersebut yang tidak perlu on sepanjang masa. Ia akan memberatkan Windows anda kerana ia menggunakan RAM dan juga processor komputer. Ia juga melambatkan Windows untuk loading startup sepenuhnya. Anda boleh buka program tersebut dengan cara klik start menu atau shortcut di desktop anda apabila anda perlukan dan bukan tepasang automatik setiap kali komputer dihidupkan.

Cara supaya apllikasi software tersebut tidak terbuka dengan sendiri:


1. Tetapkan setting program tersebut. Buka program tersebut dan pilih option atau lain-lain butang konfigurasi. Biasanya ada pilihan sama ada untuk “start with Windows” atau tidak. Cuma jangan tick kotak “start with Windows” jika tidak mahu ia on dengan sendiri.

Atau

2. Guna utiliti Msconfig, Tekan start menu. Klik Run. Taip “msconfig” dalam ruang kotak..Tetingkap baru akan keluar (seperti gambar di bawah), pilih startup. Lihat senarai start up program yang ada. Buang tick untuk program yang anda tidak mahu terpasang automatik setiap kali anda hidupkan komputer. Klik “apply”. Kemudian “close” .Pilih untuk “Restart” atau Exit Restart”.

Selepas reboot, lihat program yang anda buang tick tidak lagi on dengan sendiri.

" MaLaYsiA InTeRneT BrOaDbanD: TeLcO DiSeRu TeTapKan KaDar MuRaH "

CYBERJAYA 13 Julai – Syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini diminta menetapkan kos terendah bagi perkhidmatan jalur lebar dalam usaha menggalakkan rakyat negara ini melanggan perkhidmatan tersebut.

Ini sekali gus mampu mencapai sasaran kadar penembusan isi rumah sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, 37.7 peratus kadar itu sudah berjaya ditembusi dan ia memerlukan 12.3 peratus lagi bagi mencapai sasaran itu.

Katanya, kadar penembusan itu boleh boleh dicapai sekiranya 1.2 juta pengguna Internet secara ‘dial up’ dan 7.5 juta pelanggan 3G menukar perkhidmatan sedia ada kepada penggunaan jalur lebar.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi sekarang ini sedang berurusan dengan pelanggan mereka supaya menukarkan perkhidmatan sedia ada seperti ‘dial up’ dan 3G kepada penggunaan jalur lebar.

“Bagaimanapun kita berharap syarikat telekomunikasi terbabit dapat menentukan kadar sederhana supaya rakyat mampu menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Jalur Lebar di perkarangan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) di sini hari ini.

Kembara ke lima zon seluruh negara itu dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan tersebut.

Turut hadir timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli.

Kembara Jalur Lebar bermula 15 Julai ini selama lebih empat bulan di 500 lokasi seluruh negara yang memberi tumpuan di kawasan-kawasan terpencil di mana kadar penembusan jalur lebar amat rendah.

Rais berkata, kadar liputan yang lebih baik perlu ditingkatkan dan diberi perhatian oleh SKMM supaya pengguna dapat menikmati perkhidmatan tersebut dengan mudah dan cepat.

“Apa yang penting kawasan liputan perlu ditingkatkan selain pemasangan ‘access point’ di setiap telefon awam yang mampu menjangkau dua kilometer kawasan liputan.

“Langkah ini mampu menggarap pendapatan lebih tinggi dalam industri ini sekali gus mengubah ketamadunan bangsa dan negara jika penggunaan jalur lebar dijadikan sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

sumber: utusan online 14/07/10