Wednesday, December 15, 2010

" ProJeK KamPunG WiFi dIperLuas SeluRuh NegAra "

Berita Harian Online
2010/10/26

KERAJAAN akan memperluaskan lagi projek
Kampung Wifi, yang menyediakan kemudahan sambungan internet tanpa wayar, ke lebih 500 kampung terpilih di seluruh negara, bermula tahun depan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah meluluskan peruntukan bagi meneruskan projek itu dengan kos antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap kampung. Katanya, walaupun semua kampung itu sudah dikenal pasti dan dalam perincian SKMM, syarikat telekomunikasi di alu-alukan menyumbangkan khidmat dan sokongan bagi menjayakan program itu ke kawasan luar bandar di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).


“Kampung WiFi tidak memerlukan peruntukan tinggi dan mudah untuk disediakan, ia boleh dibangunkan di mana-mana kawasan yang mempunyai perkhidmatan telefon awam, cuma kalau menggunakan sambungan satelit mungkin kosnya tinggi sedikit.


“SKMM mungkin akan ke kampung Galas, lusa sebelum ke Batu Sapi bagi melihat potensi menyediakan perkhidmatan itu untuk kemudahan penduduk di sana,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Rangkaian Jalur Lebar U Mobile berkelajuan 42 Mega bit sesaat (Mbps) di Kuala Lumpur, semalam.


Turut hadir, Pengerusi U Mobile Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Ketua Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee.


Awal bulan lalu, Rais berkata, setakat Oktober sebanyak 11 mini CBC dibangunkan, dan tujuh kampung WiFi diwujudkan dengan terbaru di Sarawak pada bulan September.


Sementara itu, Rais berkata, dua syarikat telekomunikasi dijangka akan memperkenalkan teknologi tanpa wayar generasi keempat, 4G, dengan kelajuan capaian data 100 Mbps menjelang Mac tahun depan.


Enggan menyatakan nama syarikat terbabit, beliau berkata, kedua-dua syarikat itu sedang dalam pengujian sistem teknikal pemancaran gelombang 4G dan dijangka bersedia mencapai tahap kelajuan capaian data 100 Mbps tidak lama lagi.


“Negara kini mempunyai lebih lapan juta pengguna 3G dan sebahagian daripada mereka sudah pun bertukar kepada teknologi jalur lebar, maka pengenalan 4G adalah tambahan untuk pengguna seperti ini.


“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga akan umumkan satu berita yang sangat baik yang amat berfaedah kepada negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment