Monday, November 29, 2010

" 38% kaWaSaN suDah aDa WiFi "

MELAKA 9 Nov. - Lebih 38 peratus kawasan di negeri ini sudah dilengkapi kemudahan jalur lebar tanpa wayar bertujuan memberi liputan lebih komprehensif dan seterusnya membangunkan perkhidmatan WiFi kepada masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kemudahan tersebut dibangunkan oleh kerajaan negeri sendiri dan jalur lebar tanpa wayar oleh syarikat telekomunikasi swasta.


Menurutnya, lebih banyak kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan WiFi melalui kerjasama agensi kerajaan negeri yang berkaitan dengan Mimos Bhd.


''Syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah membina 800 tapak di Melaka untuk kemudahan ini tetapi itu masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat Melaka," katanya di sini, baru-baru ini.


Menurutnya, ketika ini kerjasama diadakan antara Jabatan K-Ekonomi, Mimos dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka bagi membangunkan WiFi generasi baru dikenali WiWi.


Melalui program itu kata beliau, ia menyasarkan pembangunan 40 tapak WiWi di sekitar pusat bandar.


''Pembangunan teknologi ini akan digerakkan secara agresif di seluruh negeri bagi menyediakan manfaat penggunaan Internet kepada masyarakat apabila ia diperluaskan di semua tempat berbanding hanya 38 peratus lokasi ketika ini," kata beliau.


Katanya, perkhidmatan itu juga adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk memperluaskan sistem berkenaan ke seluruh negeri pada masa depan.


Menurutnya, perkhidmatan tersebut juga membolehkan penduduk yang tinggal di luar bandar turut dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm&arc=hive

Friday, November 26, 2010

" ApA iTu AdwAre & SpyWarE "


Adware

Adware ialah program komputer atau perisian iklan tanpa sedar yang diselitkan ke dalam perisian di mana ia akan dimuatkan ke dalam memori apabila program tersebut dilancarkan. Wajarnya adware ialah seseorang pengaturcara itu boleh memasukkan iklan sebegini bagi menampung kos pembangunan sesebuah perisian yang dibangunkan. Adware akan dijadikan satu alternatif oleh pembangun untuk menggalakkan penggunanya supaya mendaftarkan perisian tersebut secara sah dengan membayar yuran pendaftaran bagi menghapuskan iklan-iklan tersebut. Biasanya adware di hasilkan dalam bentuk “pop-up” yang keluar pada desktop anda apabila sesuatu program itu ditutup atau dimulakan.

Spyware

Spyware pula merujuk kepada apa-apa perisian yang melaksanakan sesuatu tugas atau proses yang berjalan tanpa pengetahuan pengguna. Spyware amat merbahaya berbanding Adware kerana proses tersebut mungkin digunakan untuk mengumpul maklumat-maklumat sensitif yang terdapat di dalam komputer anda. Sebaik sahaja spyware terpasang di dalam komputer, program atau proses tersebut akan memantau pengguna di Internet dan menghantar maklumat-maklumat anda secara senyap kepada pemilik perisian tersebut atau kepada pihak ketiga. Anda perlu berhati-hati kerana spyware mampu mengumpul maklumat-maklumat sensitif seperti alamat email, kata laluan atau nombor kad kredit anda.

Spyware boleh dikategorikan sebagai perisian jahat dan ia biasanya digunakan oleh usahawan-usahawan internet yang menjalankan perniagaan secara online. Oleh itu anda perlu berhati-hati apabila menyertai sesuatu program atau memuat turun perisian yang tidak diketahui puncanya. Jika diteliti, spyware boleh juga disamakan dengan program-program Trojan Horse di mana ia akan dipasangkan ke dalam komputer tanpa persetujuan pengguna.

Cara Spyware bekerja sama seperti mana Adware. Sebaik sahaja dimuatkan ke dalam memori, spyware akan memantau aktiviti pengguna dan mengumpul maklumat anda dan menjualnya kepada pihak-pihak lain.

Oleh kerana spyware wujud dalam bentuk executable, ia boleh juga memantau 'keystroke', mencari sesuatu fail di dalam cakera keras, mengintip aplikasi lain seperti program chat dan Microsoft Word, memasang program tertentu, membaca cookies, menukar alamat Home Page dan banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh berlaku tanpa disedari.

Terdapat beberapa langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan Spyware. Cara terbaik untuk menghalang spyware ialah dengan tidak melayari laman-laman web yang tidak diketahui umpamanya laman-laman web lucah dan juga biasakan diri anda untuk membaca 'License Agreement' sebelum memuat turun sesuatu program freeware atau shareware kerana syarikat-syarikat perisian komersial boleh juga memasang spyware dengan syarat ia dimaklumkan terlebih dahulu kepada pengguna melalui dokumen persetujuan lesen perisian tersebut.

Bagi mengesan kehadiran spyware, anda boleh melihat perubahan ketara pada sistem anda seperti berubahnya alamat Home Page pada pelayar web, dan juga anda boleh melihat beberapa toolbar ekstra yang muncul secara tiba-tiba pada pelayar web walaupun anda tidak pernah memasangnya sebelum ini. Penambahan pada senarai favorites juga salah satu tanda-tanda yang dimaksudkan. Selain itu jika skrin komputer anda menghasilkan 'pop-up' tetingkap secara tiba-tiba juga menunjukkan komputer anda telah dijangkiti Spyware.

Amat penting sekali bagi anda untuk memastikan komputer anda bebas dari Spyware lebih-lebih lagi jika komputer anda disambungkan ke Internet. Gunakan perisian anti-spyware yang terdapat di pasaran. Bagi pengguna di rumah anda boleh mencuba perisian Anti-Spyware seperti:

MicrosoftDefender
LavasoftAd-Aware

Bagi tujuan perniagaan, anda boleh menggunakan penyelesaian secara hardware dengan menggunakan:

FirewallBarracuda

Thursday, November 25, 2010

" JeRaT InTeRNet "

PENGGUNAAN Internet kian meningkat di kalangan penduduk negara ini dengan kebanyakan masyarakat di Malaysia mula mengenali kebaikan yang mampu mengubah kehidupan.

Apatah lagi dengan kemudahan rangkaian jalur lebar yang memudahkan akses kepada Internet rancak dipromosikan, syarikat telekomunikasi menawarkan pakej dengan harga semurah RM49 sebulan.

Di sebalik celik Internet di kalangan warganegara Malaysia, timbul pula persoalan moral yang dibangkitkan seperti buli siber, pencurian data dan sebagainya.

Salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan ‘online’ di negara ini iaitu Cybersecurity Malaysia melaporkan hampir 2,937 insiden online berlaku pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (b) Husin Jazri, mendedahkannya sebagai meningkat 68 peratus berbanding tempoh sama iaitu Januari hingga Oktober pada tahun lalu.

“Ia satu angka yang serius dan mungkin lebih banyak kerana insiden yang kami ada berdasarkan laporan dibuat.

“Cuba bayangkan insiden yang tidak dilaporkan, ia mungkin lebih banyak daripada kaca mata kita,” katanya.

Husin berkata, perkataan insiden digunakan organisasinya kerana laporan yang diterima daripada orang awam mungkin boleh dijadikan kes atau tidak bergantung kepada masalah online dihadapi pengguna.

“Masalah keselamatan komputer pada masa kini lebih kompleks, ia bukan lagi berkaitan isu teknikal tapi sudah membabitkan isu moral dihadapi pengguna yang mengakses Internet,” katanya.

Malaysia akan bersama dunia pada 30 November ini bagi menyambut Hari Keselamatan Komputer, menunjukkan isu keamanan suasana perkomputeran perlu dititikberatkan dalam usaha memberikan kehidupan bahagia tanpa ancaman siber.

“Kita masih di peringkat awal dalam dunia Internet, namun perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kehidupan musnah hanya kerana satu klik,” katanya.

Menurutnya, jumlah 16.5 juta pengguna komputer peribadi (PC) di negara ini menunjukkan pelbagai transaksi berlaku sama ada perbankan, sosial dan sebagainya yang berupaya mengundang ancaman.

“Malah, aktiviti sosial di laman web seperti Facebook, MySpace dan banyak lagi memungkinkan gejala tidak sihat berlaku sekiranya tidak dikawal dengan baik,” kata Husin.

Beliau mendedahkan, laporan terkini menunjukkan pengguna Facebook di negara ini mencecah angka 2,619,040 pengguna dan diletakkan di tangga ke-18 di dunia sebagai negara yang aktif memperbaharui status masing-masing dalam laman web sosial itu.

“Ia angka yang bagus menunjukkan kadar celik teknologi maklumat (IT) di kalangan pengguna, namun pengguna juga perlu celik keselamatan kerana ia penting bagi memelihara identiti,” katanya.

Tambahnya,ini berikutan 2,937 insiden yang berlaku sehingga Oktober lalu membabitkan masalah menumpang identiti orang lain, perkhidmatan dinafikan, penipuan dan pemalsuan, terdedah kepada niat jahat, gangguan kandungan tidak senonoh, kod jahat atau ‘malicious’ dan gangguan sistem.

Malah, tidak terkecuali masalah kegiatan menyamar sebagai individu tertentu dengan tujuan mengaibkan atau mengaut keuntungan yang mula menular mencari mangsa untuk ditipu.

Ketua Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Adli Abd Wahid, memaklumkan hampir 151 kes membabitkan gangguan di Internet dilaporkan kepada pasukannya.

“Insiden tertinggi dilaporkan pada Februari lalu dengan 23 laporan manakala Julai mencatatkan angka kedua tertinggi iaitu 22 laporan,” katanya.

Beliau berkata, setiap insiden boleh disusuli dengan laporan polis memandangkan organisasinya tidak bertanggungjawab sebagai penguat kuasa.

“Gangguan di Internet boleh tergolong dalam kategori ‘cyberstalking’ atau ‘penghendap siber’,” kata Adli.

Penghendap siber didefinisikan sebagai penggunaan Internet atau saluran elektronik lain untuk menghendap orang lain dengan tujuan jahat sama ada sebagai individu atau organisasi.

Kelakuan ini termasuk tuduhan palsu, memfitnah, mengancam, mengeksploitasi seks, menyalahguna e-mel orang lain, mencuri identiti dan mengumpul maklumat orang lain yang bertujuan mengganggu individu terbabit.

Adli berkata, terdapat insiden dilaporkan menunjukkan e-mel mangsa diconteng pada dinding tandas yang mengatakan mangsa ingin menawarkan perkhidmatan seks.

“Pada kebiasaannya, pemangsa adalah individu mengenali mangsa seperti bekas teman lelaki atau suami yang mahu membalas dendam,” katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih atau suami isteri mengetahui data lengkap pasangan masing-masing dan membalas dendam dengan membocorkan maklumat peribadi sebaik mereka berpisah.

Dalam pada itu, Husin menambah, terdapat mangsa yang berada dalam keadaan trauma apabila identitinya dicuri dan didaftarkan sebagai pengguna palsu di laman web sosial selepas dia memutuskan hubungan.

“Maklumat mangsa didaftarkan ke akaun MySpace dengan menyatakan mangsa berminat untuk menawarkan khidmat seks,” katanya.

Tidak beberapa lama dulu, berlaku kes sama yang dihadapi pelakon terkenal tanah air, Haliza Misbun apabila identitinya dimuatkan dalam akaun Facebook.

Nama baik Haliza, 36, tercemar dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dirinya, sekali gus, ‘melayan mesra’ peminat pelakon itu yang mendaftar masuk dalam senarai kenalan.

Haliza membuat dua laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 11 September lalu dan Balai Polis Bukit Indah, Ampang, Selangor (12 September).

Selain itu, pelakon terbabit turut menghantar kedua-dua salinan aduannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya untuk tindakan susulan.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Haliza memaklumkan dia malu dan kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab sanggup menipu peminat dengan menyamar sebagai dirinya di Facebook dan dianggap mencemarkan imejnya.

Baru-baru ini, terdapat laporan di San Francisco, Amerika Syarikat yang melaporkan lima pengguna Facebook menyaman rangkaian sosial Internet itu kerana membenarkan anggotanya berkongsi aspek kehidupan dalam laman web.

Tindakan undang-undang yang difailkan di sebuah mahkamah di selatan California menuduh Facebook menjadi ‘lombong’ data dan tidak menunaikan janji untuk memberikan pengguna kawalan ketat terhadap data yang dimasukkan ke dalam profil.

Saman itu menuntut bayaran ganti rugi, namun Facebook menolak saman itu dengan mendakwa ia tidak berasas.

Antara plaintif ialah seorang wanita yang menyertai Facebook pada fasa awalnya ketika keanggotaannya dihadkan kepada pelajar kolej.

Facebook dituduh mengkhianati wanita itu dengan menjadikan laman berkenaan rangkaian sosial terbuka yang hingga kini dianggotai 250 juta orang di seluruh dunia.

Laman web itu satu bentuk medium sosial media kerana lebih menghubungkan seseorang secara santai yang mungkin bertebaran jauh, merentas benua menerusi platform Internet.

Pengguna boleh meluahkan perasaan atau pandangan menerusinya dan pada masa sama sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan menggambarkan identitinya yang sebenar.

Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati ketika mendedahkan maklumat di laman sembang kerana Facebook dan laman sembang lain juga pernah dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat satu ketika dulu.

Kebimbangan mengenai keselamatan data mungkin timbul jika ada pengguna Facebook yang menyalahgunakan maklumat atau profil seseorang untuk tujuan tertentu dengan menjual maklumat itu kepada syarikat tertentu kerana dalam banyak keadaan, tidak ada sistem yang dijamin selamat.

Maklumat peribadi yang disimpan dalam laman sosial boleh digunakan sesiapa saja untuk menghantar virus atau spam menerusi e-mel kerana menerusi Internet, seseorang itu boleh menjadi sesiapa saja tanpa perlu menyalurkan maklumat sebenar.

Pengguna sendiri perlu menjadi penapis kepada semua maklumat yang mahu disiarkan.

Kalau dilihat senario semasa, tidak semua pengguna laman sembang mahu mendedahkan identiti sebenar dan lebih selesa menggunakan nama samaran yang bertujuan untuk berseronok semata-mata.

Menyentuh mengenai tindakan jika menjadi mangsa di laman web sosial, Husin berkata, pengguna boleh melaporkan kepada organisasinya kerana agensi terbabit lebih dikenali kerana di bawah pengawasan kerajaan.

“Sekiranya pengguna mengalami insiden akaun diceroboh tanpa kebenaran dan kecurian maklumat, bolehlah merujuk kepada kami menerusi perkhidmatan Cyber999,” katanya.

Tambahnya, jika mangsa melaporkan mengenai insiden mereka terus kepada pengurusan laman web sosial, ia mungkin sukar dipercayai namun jika menggunakan khidmat Cyber999 mungkin dapat mengukuhkan laporan terbabit.

Justeru, pengguna perlu bijak memelihara data peribadi agar nasi tidak menjadi bubur pada kemudian hari yang memberi kesan negatif kepada kehidupan.

Sumber: Hmetro

Wednesday, November 10, 2010

" Pelayar Web "

Tim Berners-Lee adalah inventor kepada pelayar web atau web browser yang pertama di dunia.

Pelayar web ini direkacipta semasa beliau bertugas sebagai saintis di CERN (European Organization for Nuclear Research) pada tahun 1991. Berners-Lee menamakannya sebagai WorldWideWeb.

Pelayar web WorldWideWeb ini dibina pada komputer teknologi tinggi NeXTcube menggunakan hypertext antaramuka pengguna yang berkonsepkan WYSIWYG (What You See Is What You Get) dan HTML.

Pada tahun 1992, Pei-Yuan Wei - pelajar di Universiti California, Berkeley telah membangunkan pelayar web ViolaWWW. Pelayar web ini pula menggunakan konsep hypercard iaitu gabungan aplikasi pangkalan data dan grafik.

Teknologi pelayar web terus berkembang dan menghasilkan beberapa pelayar yang popular seperti Mosaic, Netscape Navigator dan Communicator, Internet Explorer, Opera dan Mozilla.

" Enjin Carian "

Enjin pencari internet atau internet search engine pertama di dunia telah dicipta oleh Alan Emtage, seorang pelajar di University McGill, Montreal, Kanada pada tahun 1990.

Enjin pencari internet ini dinamakan Archie. Fungsi asalnya adalah sebagai direktori elektronik yang mencari senarai index daripada komputer-komputer pelayan FTP di seluruh dunia. Seterusnya, ia membenarkan para pengguna mengambil maklumat dari komputer-komputer pelayan FTP tersebut.

Sehingga kini terdapat pelbagai versi enjin pencari dengan fungsi-fungsi tambahan dipertingkatkan seperti carian dalam bahasa berlainan, penggunaan mesin kira, carian kata kunci dan sebagainya.

Di antara enjin pencari internet yang popular adalah Google dan Yahoo.